Tuesday, April 24, 2012

Di mana nilai estetika kita?

Apa yang kurang sempurna sekarang adalah pertumbuhan minda anak-anak kita dalam sistem pendidikan dan persekitaran harian yang tidak mementingkan nilai-nilai estetika. Terperangkap dalam kolong kemajuan dan saling berlumba mengejar kebebasan kewangan, kita sering alpa tentang peranan seni dan nilai estetika dalam membentuk kemanusiaan.



Saya tidak kata sistem pendidikan sekarang langsung memulaukan idealisme seni dan estetika, tetapi ia masih kurang dititikberatkan. Sekiranya ada jalan, kita harus memeluk seni setiap hari.

Pendidikan konvensional, tidak kira ditaja atau berbayar yang tidak memberi kepentingan dalam mencapai nilai estetika ini, akan menemukan kita dengan ajal dalam pembangunan rohani dan sahsiah. Kenapa unsur ini penting dalam pembangunan modal insan?



Anak-anak yang didedahkan dengan nilai-nilai estetika akan dapat mengimbangkan diri dengan baik di atas platform rohani, mental, emosi, sahsiah dan sosial. Manakala modal insan yang dididik dalam nilai estetika juga, akan menjana individu tidak penting diri, berilmu, yakin, memiliki nilai murni dan moral tinggi, beretika, berbudi pekerti, berdisiplin, dinamik, berdaya tahan tinggi, berinovasi, kreatif, bersemangat patriotik, adil, progresif, berintegrasi dan berbudaya saing.



Saya jelaskan dulu secara ringkas peranan nilai estetika dalam kehidupan. Kamus Dewan mendefinisikan ‘estetika’ secara literal sebagai: “Cabang falsafah yang mengkaji konsep berkaitan keindahan, cita rasa dan lain-lain”.



Untuk menerapkan unsur estetika kepada seseorang, ia selalunya berkait rapat dengan dunia seni. Menurut penyelidikan Hassan Mohd Ghazali dari Fakulti Seni dan Muzik Universiti Pendidikan Sultan Idris, apabila persoalan estetika dibahaskan, secara langsung persoalan kesenian dan nilai keindahan akan disentuh.



Nilai estetika itu sendiri adalah seni. Estetika disebut sebagai aisthesis dalam bahasa Yunani membawa maksud hal-hal yang dapat diserapkan oleh pancaindera atau melalui kepekaan manusia.

Sasterawan negara, Shahnon Ahmad, pernah beri komentar tentang salah satu cabang estetika: “Sastera itu sismograf.” Perkataan sismograf dalam konteks ayat di atas, tidak bermaksud untuk ukur impak gempa bumi seperti lazim, tapi membawa pengertian bahawa sastera itu adalah kayu ukur kepada kehidupan kita.



Sekiranya sastera itu sismograf kehidupan, di mana kita hari ini? Dalam budaya mutakhir yang serba elektronik dan bertuhankan gadjet, bagaimana boleh kita memulihara seni dan sastera negara? Pertama, kita harus bebaskan seni dari tanggapan liburan. Kita kerap menyabitkan cabang seni dengan unsur-unsur hiburan picisan, ini kita kena segera tukar.



Setiap cabang seni - muzik, filem, penulisan, lukisan, seni pentas dan bermacam lagi - harus diterima dan dicari nilai estetik dan mesej subliminal di sebalik setiap karya mereka. Kalau kita tak anggap seni itu picisan, selalunya kita anggap seni itu acara istirahat dan santai sahaja. Ini juga kita kena tukar.



Setiap karya seni harus menggambarkan refleksi minda tuannya, masyarakat harus lebih terbuka menerima karya-karya kritis yang berlandaskan eskapisme dan kebebasan. Saya fikir tidak perlu ada segala sayembara dan aktiviti mencari pengiktirafan sejagat sesebuah karya dari negara kita. Keadaan kita sekarang yang sering meminggirkan sastera dan kebudayaan bakal menghakis perkembangan peradaban kita sendiri. Sastera dan seni perlu dipupuk, diterap, diintegrasikan dari awal agar kita tidak menjana robot-robot bertuhankan duit.



Seni tidak perlu dilihat sebagai falsafah, perlu diinterpretasikan secara mendalam. Apa harus kita terapkan, seni itu hanya gagasan mengekspresikan diri dan perasaan secara halus dan diplomatik.



Bila kita ada generasi pelapis bernilai estetika tulen, barulah mereka boleh meluahkan perasaan secara lebih efektif dan kreatif. Setakat meniru idea asal #OccupyWallStreet di New York, semua orang boleh. Bukan begitu pembaca budiman?








original post
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/elviza/di-mana-nilai-estetika-kita-1.42852






No comments:

Post a Comment